iklan

Monday, July 05, 2010

Pelajar IPTA hanya bayar 10 peratus yuran pengajian

KUANTAN 4 Julai - Setiap pelajar yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) hanya membayar sebanyak 10 peratus daripada yuran pengajian keseluruhan, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau menjelaskan, sebanyak 90 peratus lagi yuran pengajian pelajar di IPTA ditanggung kerajaan.

Menurutnya, kerajaan menyediakan peruntukan sehingga berbilion ringgit untuk menyalurkan subsidi bagi memastikan golongan muda mendapat pendidikan tinggi.

"Sebagai contoh, bagi pengajian perubatan selama lima tahun di IPTA, kos sebenar adalah sebanyak RM200,000 iaitu yuran yang dibayar pelajar hanya RM19,000 kerana selebihnya iaitu RM181,000 adalah subsidi kerajaan.

"Bagi pengajian kejuruteraan pula, kos pengajian bagi empat tahun adalah sebanyak RM105,404 dan kerajaan terpaksa membayar subsidi sebanyak RM94,644 bagi membolehkan pelajar membayar sebanyak RM10,760.

"Oleh itu, sekiranya kerajaan tidak memberi subsidi dan menyediakan pelbagai kemudahan pastinya negara tidak mempunyai tenaga kerja pakar seperti jurutera dan doktor," katanya.

Beliau berucap merasmikan minggu induksi siswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) 2010 di Gambang, dekat sini hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Dekan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Yuserrie Zainuddin.

Menurut Mohamed Khaled, bagi Pengajian Sastera Ikhtisas, kos keseluruhan pengajian selama tiga tahun adalah sebanyak RM27,813 apabila pelajar hanya membayar RM7,638 sementara baki kos sebanyak RM20,175 ditanggung kerajaan.

Dalam pada itu, tambahnya, tahun lalu, kerajaan mengeluarkan subsidi sebanyak RM8.5 bilion membabitkan 20 IPTA di seluruh negara.

"Kerajaan juga menyediakan pelbagai biasiswa dan pinjaman pelajaran yang disediakan melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi membolehkan pelajar membayar yuran pengajian yang dikenakan," katanya.

- UTUSAN





Reactions:

0 komenentar: