iklan

Sunday, February 06, 2011

Maher Zain nyanyi Insya-Allah dalam versi Melayu






MAHER ZAIN akan menyanyikan lagu Insya- Allah dalam bahasa Melayu dalam konsert yang bakal diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam pada 25 dan 26 Februari ini.




BUKAN kali pertama dia bertandang ke Malaysia tetapi kali ini, Maher Zain yang mencetuskan fenomena di negara ini bakal hadir dengan sebuah konsert berskala besar pada 25 dan 26 Februari ini di Stadium Malawati, Shah Alam.
Tahun lalu, penyanyi kelahiran Lebanon itu pernah menjejakkan kaki ke Malaysia dan membawakan kegilaan terhadap lagu Insya-Allah.
Namun kali ini dia mahu memberi lebih kesempatan buat para peminat album perdananya, Thank You Allah untuk lebih merapatkan diri serta bertasbih mengikut lagu-lagunya dalam sebuah konsert besar diiringi barisan pemuzik orkestra antarabangsa.
Dibawakan oleh In Team Records Sdn. Bhd. dan Fiero Sdn. Bhd. serta kolaborasi dengan pihak Awakening Entertainment, konsert itu turut mempersembahkan Irfan Makki dari Kanada, Mesut Kurtis dari Macedonia dan grup tempatan, Inteam sebagai artis undangan.
Berasa selesa dengan penerimaan peminat di Malaysia, Maher malah menganggap Malaysia merupakan rumah keduanya.
"Malaysia sudah seperti rumah kedua saya selepas Sweden.
"Saya juga selesa berada di sini memandangkan isteri saya memakai hijab dan masyarakat di sini tiada masalah dengan perkara tersebut," luahnya yang menggemari sate bersama kuah kacang.
Teruja dengan konsert solo itu, Maher berkata, dia bakal menyampaikan 10 buah lagu yang dipetik daripada album Thank You Allah.
Malah, sebagai sebuah penghargaan buat para peminat di Malaysia, penyanyi yang gemar bertopi ini akan menyanyikan secara eksklusif lagu Insya-Allah dalam bahasa Melayu.
"Ia khas bagi menghargai peminat Malaysia yang selama ini banyak memberikan sokongan kepada saya," tuturnya yang juga pernah menyampaikan lagu tersebut dalam empat bahasa lain iaitu Inggeris, Perancis, Arab dan Turki.
Bagi peminat Malaysia yang ingin menyaksikan Maher Zain sekali lagi di Malaysia, anda boleh medapatkan maklumat pembelian tiket di www.inteam.com.my


Reactions:

0 komenentar: