KUALA LUMPUR 3 Dis. - Hasil serbuan Bank Negara Malaysia (BNM) bersama
beberapa agensi penguatkuasa terhadap syarikat-syarikat yang disyaki
menjalankan skim pelaburan haram menggunakan emas mendapati satu
daripada syarikat itu iaitu Genneva Malaysia Sdn. Bhd. (Genneva
Malaysia), merupakan syarikat yang bermasalah.
Menurut kenyataan
bersama yang dikeluarkan BNM bersama Polis Diraja Malaysia, Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Suruhanjaya
Syarikat Malaysia, laporan awal perakaunan menunjukkan operasi Genneva
Malaysia mengalami kerugian besar tahun ini dan mempunyai liabiliti
melebihi 10 kali asetnya.
Syarikat itu sebenarnya tidak akan
dapat mengekalkan cara operasinya iaitu menjual emas pada kadar 20
hingga 25 peratus lebih tinggi daripada harga pasaran, membayar pulangan
dua hingga tiga peratus sebulan dan membeli balik emas pada harga asal
belian, kata kenyataan itu di sini hari ini.
Sehubungan itu,
aliran tunai untuk membolehkan syarikat itu meneruskan operasinya adalah
bergantung daripada wang pelaburan pelanggan baharu.
"Dokumentasi
yang disita menunjukkan lebih daripada 8,000 pelabur syarikat tersebut
yang telah membuat pembayaran untuk pelaburan emas juga masih belum
menerima emas mereka yang jumlahnya melebihi 4,000 kilogram.
"Selain
itu, didapati terdapat pelabur yang telah menyerahkan emas mereka
kepada syarikat tersebut tetapi masih belum menerima bayaran balik tunai
yang jumlahnya melebihi RM80 juta,'' kata kenyataan bersama tersebut.
Agensi-agensi
penguatkuasaan itu juga menyatakan mereka menerima banyak rayuan
daripada pihak yang terlibat dengan perniagaan Genneva Malaysia untuk
melepaskan wang yang dibekukan dalam akaun bank sebanyak RM99.8 juta dan
emas yang disita sebanyak 126 kilogram yang disimpan sebagai bukti bagi
kesalahan yang disyaki.
Bagaimanapun, BNM dan agensi-agensi itu
menyatakan, wang dan emas tersebut dikehendaki untuk tujuan penyiasatan
dan hanya akan dilepaskan dengan arahan mahkamah dan usaha sedang
dilakukan bagi mempercepatkan siasatan untuk mencapai penyelesaian awal.
Orang ramai dinasihatkan supaya merujuk kepada laman web BNM di www.bnm.gov.my untuk maklumat lanjut.
- UTUSAN-
Wednesday, December 05, 2012
Genneva Malaysia rugi besar
Wednesday, December 05, 2012
No comments
0 komenentar:
Post a Comment