iklan

Tuesday, November 26, 2013

Penglibatan Umat Islam Dalam Perniagaan Main Peranan Penting Kpd Ekonomi Negara

Penglibatan Umat Islam Dalam Perniagaan Main Peranan Penting Kpd Ekonomi Negara
KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) — Penglibatan umat Islam di Malaysia dalam bidang perniagaan turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, kata Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd Datuk Ameer Ali Mydin.

Namun beliau berkata masih ramai peniaga Islam di negara ini belum mahir dalam selok-belok bidang tersebut.

“Apabila kita (umat Islam) menguasai bidang perniagaan, secara automatik kita akan dapat mengubah pandangan orang luar, terutama Barat, bahawa umat Islam juga mampu menjana ekonomi negara dengan lebih baik.

“Kita tidak boleh hanya pandai bercakap untuk mengatasi ekonomi Barat, malah perlu belajar untuk menguasai bidang perniagaan ini,” katanya kepada Bernama.

Ameer Ali bagaimanapun kesal atas tanggapan negatif sebilangan umat Islam di negara ini yang menuduh peniaga dan usahawan Islam yang berniaga, lupa hari akhirat semata-mata untuk mencari kekayaan dunia.

“Mereka ini terlalu taksub sehingga sanggup membuat tuduhan itu sedangkan Islam menggalakkan umatnya mencari rezeki menerusi perniagaan.

“Saya setuju bahawa kita juga perlu memikirkan tentang hari akhirat, namun kita perlu ada keseimbangan antara dunia dan akhirat,” katanya.

Beliau berkata banyak bukti menunjukkan bahawa sejak zaman Nabi Muhammad SAW, umat Islam telah mencapai banyak kejayaan dalam pelbagai bidang.

“Ini (bukti kejayaan pada zaman Nabi Muhammad) menunjukkan bahawa agama Islam tidak meletakkan halangan kepada umatnya. Jadi, kita sebagai umat Islam tidak seharusnya memandai-mandai meletakkan agama itu sebagai halangan untuk berjaya,” katanya.

Ameer Ali turut berkata kerajaan telah banyak berusaha untuk memastikan umat Islam di negara ini berjaya dalam bidang perniagaan, terutama suntikan modal kepada usahawan baharu serta panduan untuk menguasai selok-belok perniagaan.

“Umat Islam di Malaysia memperoleh banyak manfaat menerusi bantuan yang disediakan oleh kerajaan. Jadi, gunakanlah sebaik mungkin untuk memberi kebaikan kepada umat Islam yang lain di negara ini,” katanya.

– BERNAMA

Reactions:

0 komenentar: